PEMERIKSAAN ANTENATAL

16 Jun

PEMERIKSAAN ANTENATAL PENTING SEWAKTU HAMIL

Sebaik disahkan hamil, bakal ibu perlu menjalani pemeriksaan antenatal rutin untuk memastikan kandungan berada dalam keadaan selamat. Ramai yang tidak tahu mengapa pemeriksaan antenatal penting untuk mereka. Malah ada yang sengaja melengah-lengahkannya hingga ke minggu-minggu terakhir. Sepatutnya bakal ibu perlu mengetahui secara terperinci segala aspek pemeriksaan antenatal yang mesti dijalani untuk mengurangkan risiko sewaktu hamil dan bersalin.

Menurut Prof. Dr. Jamiyah Hassan, Timbalan Pengarah (Profesional) & Konsultan O & G, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), pemeriksaan antenatal bermaksud pemeriksaan kandungan sebelum proses kelahiran. Sebaiknya pemeriksaan ini dilakukan seawal yang boleh atau sekurang-kurangnya satu pemeriksaan sebelum tiga bulan pertama kehamilan.

“Sekiranya seorang wanita tidak datang haid melebihi dua minggu dan sekiranya kitaran haidnya sebelum itu teratur, mereka haruslah memeriksa sama ada mereka mengandung,” terang beliau. Setiap wanita mempunyai kitaran haid yang berbeza-beza. Kitaran haid yang normal adalah di antara 21 ke 35 hari. Apabila seorang wanita tidak datang haid melebihi dua minggu dan dia tidak menggunakan kaedah perancang keluarga yang baik, mereka perlu membuat pemeriksaan sama ada mengandung ataupun tidak.

Prof Dr Jamiyah berkata, pemeriksaan tersebut boleh dilakukan sendiri di rumah dengan menggunakan kit pemeriksaan air kencing yang dijual di farmasi. Ia mudah, selamat dan mempunyai effisiensi yang tinggi. Dia turut memberikan pilihan sama ada wanita boleh pergi berjumpa doktor untuk pemeriksaan air kencing. Kaedah ultrasound juga boleh digunakan untuk melihat janin tetapi jika terlalu awal ia mungkin tidak kelihatan. Janin boleh dikenal pasti selepas lima minggu kehamilan.

Sewaktu pemeriksaan awal, sejarah pesakit akan dikenal pasti dan pemeriksaan fizikal yang lengkap akan dijalankan. Ujian air kencing untuk protien dan glukos akan dilakukan. Ujian darah untuk hemoglobin, hepatitis, VDRL dan HIV juga dijalankan. Sebelum pemeriksaan HIV, pesakit akan diberi kaunseling dan keizinan mengambil darah akan diminta.

Perlunya Ujian Ultrasound

Jika melakukan pemeriksaan di pusat perubatan swasta, kebanyakan pakar O & G akan melakukan pemeriksaan melalui ujian ultrasound/scan (imbasan).

“Ujian scan adalah untuk melihat sama ada keadaan struktur anggota bayi normal atau sebaliknya, melihat beberapa jumlah kehamilan, tumbesaran bayi, keadaan uri, air ketuban dan masalah ketumbuhan pada rahim atau kilang ovari sekiranya ada.

Ujian ultrasound juga dilakukan untuk melihat sekiranya ada tanda-tanda menunjukkan kemungkinan bayi yang dikandung mempunyai masalah genetik atau kromosom tidak normal. Jika tanda-tanda itu ada, ujian seterusnya seperti amniosentsis, chorionic villus sampling ataupun mengambil sedikit darah bayi untuk ujian boleh dilakukan.

Bahkan ujian ultrasound turut boleh mengeratkan perasaan ibu terhadap bayi yang dikandung (bonding) apabila ibu melihat pergerakan manusia kecil yang lengkap di dalam rahimnya. Kita juga boleh memantau tumbesaran bayi lebih-lebih lagi kandungan bermasalah seperti ibu yang mempunyai kencing manis, darah tinggi, kandungan kembar dan sebagainya.”

Beliau menyangkal tanggapan sesetengah bakal ibu bapa beranggapan ujian ultrasound yang dilakukan dengan kerap setiap kali pemeriksaan antenatal boleh membahayakan janin mereka. Ini kerana katanya tidak ada kajian yang mengatakan ujian ini mendatangkan kemudaratan pada bayi.

Justeru bakal ibu bapa perlu berbincang dengan doktor serta memahami kenapa mereka perlu melakukan ujian ultrasound dan mengetahui kebaikan dan keburukannya.

“Apa pun keputusan yang mereka buat, kita harus hormati kerana semua keputusan terletak di tangan pesakit. Yang penting doktor telah menerangkan apa akibat daripada keputusan yang mereka buat itu,” terang beliau.

Hamil dan Bermasalah

Tidak semua wanita memiliki kesihatan yang normal sepanjang kehamilannya. Ada ibu yang didiagnosis mengidap penyakit darah tinggi, diabetes dan sebagainya ketika mengandung, maka mereka perlu menjalani ujian khas untuk mengawal penyakit yang dihidapi.

“Untuk ujian diabetes, mereka akan disarankan menjalani ujian glucose tolerance di mana pesakit diminta berpuasa pada malam sebelum ujian dijalankan. Keesokan paginya, satu ujian darah untuk glukos akan diambil. Ibu akan diberi minuman air glukos (82.5 gm di dalam 200ml air suam). Air glukos perlu dihabiskan dalam masa 10 hingga 15 minit dan ibu perlu duduk berehat tanpa sebarang aktiviti yang menggunakan tenaga. Selepas dua jam, satu lagi ujian darah akan dijalankan,” terangnya.

Penyakit diabetes sewaktu mengandung terbahagi kepada dua. Seorang ibu disahkan mengidap kencing manis sebelum mengandung dan yang seorang lagi sewaktu mengandung. Diabetes boleh disebabkan oleh pemakanan yang berlebihan terutama pengambilan karbohidrat dan lemak yang tinggi.

Apabila seseorang wanita mengandung, banyak hormon-hormon yang dikeluarkan oleh uri untuk menampung kandungan dan hormon-hormon seperti HCG, estrogen mengakibatkan kadar gula di dalam darah boleh meningkat. Jika kemampuan seseorang ibu untuk mengawal kadar gula ini tidak optimum iaitu pengeluaran hormon insulin dari pankreas tidak mencukupi, ia boleh mengakibatkan kencing manis sewaktu mengandung.

Jika kencing manis tidak terkawal ia memberi kesan kepada ibu iaitu boleh mendatangkan risiko jangkitan kuman terutamanya kulat atau pengeluaran lendir dari faraj yang dijangkiti kulat seperti candidiasis ataupun bakteria, jangkitan kuman air kencing, masalah kesihatan yang lain seperti darah tinggi.

Sekiranya kencing manis berlaku sebelum mengandung dan tidak dikawal lebih-lebih lagi pada peringkat awal kandungan ia boleh mengakibatkan kecacatan pada bayi yang dikandung seperti kecacatan otak, tulang belakang dan jantung.

Kesan pada bayi pula ia boleh mengakibatkan berat bayi yang berlebihan serta masalah sewaktu kelahiran, bayi meninggal di dalam kandungan tanpa disedari, air ketuban yang banyak dan seterusnya boleh bersalin awal, bayi kurang matang dan sebagainya.

Jika kencing manis dihidapi sewaktu mengandung dan apabila diperiksa enam minggu selepas bersalin tiada tanda-tanda kencing manis, ibu masih mempunyai risiko untuk mendapat kencing manis di masa akan datang.

Sementara itu untuk penyakit darah tinggi, doktor akan memeriksa tekanan darah tinggi pada setiap pemeriksaan. Tanda-tanda awal penyakit darah tinggi ialah bengkak pada pergelangan kaki atau di kawasan lain seperti muka dan jari-jari ataupun sakit kepala yang tidak normal.

Hamil Lewat Usia

Ibu yang hamil di lewat usia sering terdedah kepada banyak risiko. Menurut Prof. Dr. Jamiyah, kemungkinan ibu mendapat anak yang mempunyai masalah kromosom tidak normal adalah lebih tinggi.

Semasa menjalani pemeriksaan antenatal mereka boleh menjalani ujian amniosentesis tetapi keputusan tersebut bergantung kepada kemahuan ibu sendiri. Katanya ia bukanlah satu ujian yang mesti dilakukan. Sebaliknya ujian-ujian lain yang disarankan termasuk ujian kencing manis mesti dilakukan kerana usia yang lanjut adalah satu faktor risiko. Justeru itu beliau berpesan kepada wanita yang merancang untuk hamil agar mengambil asid folik bagi mengurangkan risiko kecacatan pada sistem urat saraf (central nervous system) dan tulang belakang tetapi ia perlu dimakan sekurang-kurangnya lapan hingga dua belas minggu sebelum mereka ingin mengandung.

“Disebabkan wanita tidak pasti bila mereka ingin mengandung jadi lebih baik asid folik diamalkan setiap hari. Zat besi pula perlu untuk menambah sel-sel darah merah kerana ia penting untuk membawa oksigen yang diperlukan oleh sel-sel badan kita.

Walau bagaimanapun zat besi seperti yang terkandung di dalam obimin tidak boleh diambil bersama air teh, susu, telur, makanan soya dan kubis sekurang-kurangnya satu hingga 1 1/2 jam sebelum dan selepas mengambil zat besi. Ini adalah kerana zat besi akan bertukar kepada zat besi yang tidak boleh diserap oleh usus jika makanan tersebut dimakan. Jadi adalah lebih baik mengambilnya sebelum tidur kerana kita tidak lagi makan. Tetapi pastikan anda tidak minum air teh, susu atau soya sebelumnya.”

SUMBER : PA & MA SEPTEMBER 2008

NEXT ENTRY : RUTIN PEMERIKSAAN ANTENATAL

LOVE, LOVE, LOVE YOU!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: